Pelakon drama Korea popular, Descendants of The Sun, Song Joong Ki dan Song Hye Kyo dilaporkan bakal berkahwin hujung Oktober depan.

Menurut laporan portal Soompi, berita gembira itu diumumkan oleh wakil agensi pasangan tersebut iaitu Blossom Entertaiment dan United Artist Agency (UAA) hari ini.

“Pertama sekali pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat Korea dan juga antarabangsa kepada pasangan berkenaan kerana memberikan sokongan kepada mereka.

“Bagaimanapun kami juga memohon supaya anda memahami situasi dan juga berita mengejutkan yang kami sampaikan ini.

“Song Joong Ki dan Song Hye Kyo bakal melangsungkan perkahwinan pada hari terakhir bulan Oktober 2017.

“Perkahwinan bukan sahaja merupakan perkara peribadi kepada kedua pasangan tersebut sebaliknya ia juga melibatkan keluarga mereka.

“Dengan pemberitahuan mengenai perkahwinan tersebut, kami meminta supaya anda memahami situasi mereka.

“Besarlah harapan kami sekiranya anda dapat memberikan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.

“Song Joong Ki dan Song Hye Kyo akan menyampaikan sendiri berita gembira itu kepada peminat kelak, Terima kasih,” kata wakil tersebut.



Dalam pada itu, hashtag popular #SongSongCouple menjadi trending dunia di Twitter selepas beberapa jam berita tersebut dihebahkan.

#SongSongCouple merupakan hashtag yang digunakan oleh peminat untuk pasangan itu sejak drama tersebut ditayangkan tahun lepas.

Menerusi hashtag tersebut, rata-ratanya memberikan ucapan tahniah dan meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat pasangan serasi itu disatukan.