Pemilik restoran SukaSucre Bistro, Datuk Fazley Yaakob bakal membawa masakan Melayu ke negara Jepun dan London bagi mengangkat martabat masakan warisan di mata dunia.

Fazley ketika ditemui di Singapura baru-baru ini memberitahu, jika menerusi SukaSucre dia berjaya mengetengahkan masakan Asian-Fusian bertemakan From Rembau to Paris, tidak keterlaluan jika kali ini masakan Melayu pula diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya ramai yang terlupa bajawa masakan Melayu sudah lama dimakan oleh orang luar, malah sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.

“Jadi, saya berpendapat konsep makanan Melayu ini perlu dikembalikan semula dan di naik taraf kualiti dan penampilannya supaya dapat menarik perhatian orang ‘luar’.

“Asalkan kualiti rasanya dikekalkan, saya yakin penggemar masakan Melayu akan bertambah dan bakal digemari oleh semua penduduk dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis menandatangani perjanjian bersama Mamanda Group di Singapura baru-baru ini.



Dengan termeterainya perjanjian tersebut, juara Masterchef Selebriti musim pertama itu kini menggalas tanggungjawab sebagai rakan kongsi merangkap Chef Eksekutif Kumpulan di bawah Mamanda Group mewakili Singapura dan Malaysia.

Majlis menandatangani perjanjian bersama itu adalah di antara Fazley dengan Pengarah Mamanda Group, Zulkarnain Hafiz, juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Mamanda Group, Masmunah Abdullah serta Chef Nita, selaku Ketua Chef Restoran Mamanda.Mamanda berlokasi di sebuah rumah agam berusia 173 tahun di No 73 Sultan Gate Singapura.

“Kalau sebelum ini saya bekerjasama dengan Mamanda sebagai chef jemputan, kali ini saya merupakan salah seorang pemilik bersama.

“Terbaharu, selepas dilantik sebagai Chef Eksekutif Kumpulan, saya tampilkan menu sulung secara eksklusif iaitu Dulang Minang Seafood.

“Ia berkonsep setiap jenis makanan laut yang dimasak dengan kuah lemak cili api dan akan dituang bersama. Lebih bermakna semua masakan itu akan dihidangkan di dalam dulang dan ini merupakan menu ciptaan saya khas buat pengunjung Mamanda,” katanya.

Mamanda merupakan restoran makanan Melayu berkonsep fine dining dengan mengetengahkan masakan warisan Melayu tradisional yang dinaik taraf supaya dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat termasuk penggemar masakan Barat.

Mamanda juga bakal membuka cawangan keduanya di TPC Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai Kuala Lumpur Golf & Country Club) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Foto: SukaSucre Creatives