Penyanyi Tomok mengakui sebagai ayah, dia tidak menggalakkan anaknya, Arrianshah Akid, 5, melibatkan diri dalam bidang nyanyian.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 32, memberitahu anaknya kini sudah mula menunjukkan minatnya dalam bidang nyanyian dan muzik, namun sebagai ayah dia tidak menggalakkan anaknya terjun ke dalam bidang sama.

"Permulaan kerjaya saya menyanyi bermula seawal usia remaja bersama kumpulan New Boyz dan pengalaman yang saya lalui amat berliku.

"Saya tidak mahu Arrian menerima nasib yang sama kerana saya tahu bagaimana sukarnya untuk bergelar seorang anak seni.

"Namun saya tidak menghalangnya untuk bergelar anak seni, jika itu adalah impiannya.

"Tetapi dia perlu belajar bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk mencapai cita-citanya sebagai anak seni," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Tomok sebagai ayah dia akan menyokong apa saja cita-cita yang diinginkan oleh anaknya.

"Saya tidak akan menghalang anak saya untuk mencapai cita-citanya asalkan apa yang dilakukan itu betul dan tidak salah.

"Namun saya juga akan memberi pendapat dan nasihat sebelum mereka melakukan sebarang keputusan," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi