Untuk menceriakan Aidilfitri, HBO Asia telah membawakan filem animasi, The Secret Life of Pets yang dialih suara oleh selebriti terkenal seperti Nora Danish, Fahrin Ahmad, Shahrol Shiro dan Hisyam Hamid.

Menurut Penolong Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Bahasa Inggeris Astro, Junaidah Said Khan, suara artis-artis yang dipilih adalah bersesuaian dengan setiap karakter dan juga watak animasi tersebut.

“Kesemua artis memberikan kerjasama yang baik dan segala proses alih suara berjalan dengan lancar.

“Menariknya setiap karakter yang dipilih sangat sesuai dengan watak mereka sebagai contoh Gidget, seekor kucing yang sangat manja dan suara karakter itu diberikan kepada Nora Danish.

“Filem ini sesuai untuk ditonton seisi keluarga dan gelagat lucu setiap karakter comel dalam animasi ini pasti membuatkan anda tidak kering gusi,” katanya.

Antara artis lain yang turut terlibat dalam pengalihan suara animasi ini adalah Che Puan Juliana Evans (Katie), Nabil Ahmad (Snowball), Mark Adam (Reginald), Akhmal Nazri (Mel), Zarul Husin (Tiberius) dan Sherry Alhadad (Chloe).

The Secret Life of Pets akan bersiaran pada jam 8.00 malam ini secara eksklusif di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 431).

Sinopsis:
Filem komedi ini mengisahkan tentang kehidupan haiwan peliharaan di satu bangunan sebuah pangsapuri di Manhattan selepas pemilik mereka meninggalkan rumah untuk bekerja.

Haiwan paling popular di bangunan tersebut, Max (Hisyam Hamid) seekor terrier yang pintar yakin dia merupakan keutamaan pemiliknya, Katie. Namun segalanya musnah apabila Katie membawa pulang seekor anjing bernama Duke (Fahrin Ahmad) yang selekeh dan tiada kemahiran sosial.

Apakah yang akan berlaku selepas kedua ekor anjing tersebut menyedari niat jahat seekor arnab licik yang ingin membalas dendam terhadap manusia?

Mampukan mereka bersepakat untuk menghentikan niat jahat arnab tersebut?

Sama-sama nantikan kita saksikan malam ini.