Penyanyi dan pelakon, Alif Satar mengakui setiap tahun menjelang Aidilfitiri, dia akan 'berperang’ di dapur menyediakan kari kambing.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 27, berkata, menu kari kambing istimewa dihidangkan kepada ahli keluarganya setiap tahun.

"Ini memang jadi tugas wajib dilakukan oleh saya setiap tahun.

"Ahli keluarga yang lain terutama mak saya akan menyediakan juadah berlainan dan bahagian memasak kari kambing akan diserahkan sepenuhnya kepada saya.

"Menu ini memang akan ditunggu-tunggu oleh tetamu yang mengunjungi rumah saya kerana mereka sudah tahu keenakan rasanya.

"Jadi bagi yang nak merasa masakan kari kambing saya ini, kena datang ke rumah saya pada hari raya pertama kerana pada hari lain saya tak buat," katanya kepada Astro Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui ketika Jelajah Sajian Hati Digi di Bazaar Ramadan Kelana Jaya, baru-baru ini.

Tambah Alif, kemeriahan berganda pada hari raya pada tahun ini kerana disambut dengan kehadiran anak perempuan kedua yang berusia empat bulan.

"Tahun ini pastinya akan lebih gembira dengan bertambah ahli keluarga kami dan itu yang membuatkan sambutan hari raya menjadi lebih meriah," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi