Pelakon Syafie Naswip akui menyesal dengan tindakannya yang sering meninggikan suara terhadap ibu tanpa memikirkan perasaannya.

Tindakan tersebut telah menyebabkan hati ibunya terguris dan perkara itu telah meninggalkan rasa kesal dilubuk hatinya.

Namun jangan salah sangka, itu hanyalah merupakan babak lakonan Syafie dalam telefilem terbaru berjudul Kembalikan Syawalku.

Syafie memegang watak sebagai Akil merupakan seorang anak yang keras kepala dan sering memarahi ibunya walaupun dia terlantar di hospital selepas mengalami kemalangan.

Menurut Syafie, telefilem tersebut banyak memberi pengajaran dan meninggalkan kesan terhadap dirinya.

“Siapa yang masih ada ibu tolonglah jangan jadi macam Akil, ibu adalah harta dunia yang paling berharga dan kita tiada hak untuk menyakiti hatinya walaupun sebesar zarah.

“Telefilem ini banyak mengajar tentang pengorbanan dan sifat seorang ibu yang sering memaafkan anaknya sehingga penghujung hayatnya.

“Sejujurnya, bila tengok cerita ini memang saya teringat dan rindu pada ibu saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Syafie, pelakon lain yang tuurt membintangi telefilem tersebut adalah Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Sabri Yunus, Lisdawati dan Sharifah Amani.

Kembalikan Syawalku arahan Pitt Hanif ini akan bersiaran pada jam 9.00 malam ini di Astro Citra (saluran 131) dan Mustika HD (saluran 134).