Kemeriahan Syawal diserikan dengan sajian iklan raya yang mampu membuatkan kita tersenyum mahu pun menangis.

Tahun ini, perang iklan raya muncul daripada pelbagai agensi dan syarikat terkemuka.

Pujian harus diberikan kepada produksi yang begitu kreatif menyampaikan mesej melalui iklan-iklan raya yang disiarkan di kaca televisyen dan media sosial.

Jadi, kami kumpulkan 10 iklan raya terbaik 2017.

1) Lagi Lagi Bahulu Emak - MYNIC

Hati siapa tak pedih kalau emak dijadikan subjek ceritanya? Iklan ini mengisahkan seorang anak yang lupakan jasa-jasa ibunya setelah berjaya memiliki syarikat bahulu resepi ibunya sendiri. Syurga kita redha mereka.

Faktor wow: Susunan muzik dan perletakan lagu-lagu meruntun emosi tepat pada plot.



2) Ikhlas - Mara

Ini kisah tentang pemergian orang tersayang sekelip mata dalam tragedi kemalangan jalan raya. Bermain emosi pilu kanak-kanak yang menjadi yatim piatu, iklan ini membariskan pelakon hebat seperti Que Haidar, Faizal Hussein, Umie Aida, Azizah Mahzan dan Datuk Rahim Razali.

Faktor wow: Jalan cerita, elemen dramatik dan lakonan kanak-kanak yang sangat luar biasa.



3) Sahabat Raya - AKPK

Ironi fungsi AKPK yang sentiasa ada untuk berkongsi dan membantu masyarakat mencari jalan penyelesaian setiap masalah kewangan, iklan ini menceritakan segalanya tentang persahabatan. Setelah 40 tahun berpisah, hubungan sepasang sahabat kembali terjalin walau berbeza situasi.

Faktor wow: Tony Eusoff yang tidak pernah menghampakan daripada segi emosi. Lakonan dua orang kanak-kanak itu juga harus dipuji!


4) Dugaan Raya Aida - TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan mesej kekeluargaan dan persahabatan dalam menjalinkan plot cerita Aida yang berdepan pelbagai situasi dan dugaan untuk pulang berhari raya. Memang menghiburkan!

Faktor wow: Suntingan, sinematografi dan shot menarik. TNB turut menghasilkan lagu raya khas mengiringi iklan ini berjudul Cerita Di Hari Raya berkonsepkan klip video 1990-an.



5) Diari Ramadan Opah - Yeos

Situasi biasa apabila pulang berhari raya di kampung. Sekumpulan keluarga berhimpun beramai-ramai namun salah seorang daripada cucunya terjumpa diari Opah dan membacanya di hadapan anggota keluarga. Mesejnya menempelak anak-anak yang terlampau sibuk hingga melupakan ibu dan bapa di kampung. Duit tidak boleh beli masa!

Faktor wow: Mencuit hati namun mencengkam emosi. Lakonan Kismah Johar yang tak pernah gagal.



6) Mulakan Dengan Yang Baru - Samsung

Sebuah lagi iklan raya yang menempelak individu bandar yang terlalu leka mengejar duniawi hingga melupakan keluarga dan ibu bapa. Plotnya banyak mengimbas kembali detik-detik kebersamaan keluarga tanpa anak sulungnya, Shuk, sehinggalah ibunya sendiri meninggal dunia tanpa sempat bertemu muka.

Faktor wow: Jalan cerita, lakonan dan sesi perbualan di media sosial antara adik beradik yang menyentuh hati.



7) Syurga Di Bawah Kaki Ibu - Air Anugerah

Kisah adik-beradik yang enggan menjaga seorang ibu yang sedang sakit digarap cemerlang dalam iklan raya Air Anugerah. Ibu itu akhirnya dijaga oleh anak perempuannya, Tijah, hingga menghembuskan nafas terakhir dan mengundang penyesalan saudara kandungnya yang lain.

Faktor wow: Sudah pasti lakonan Fauziah Nawi yang tidak pernah mengecewakan.



8) Kisah Benar Adli & Luqman: Dari Hati Ayah - Astro

Drama pendek ini mengisahkan hubungan akrab antara Abah dan Luqman, seorang kanak-kanak istimewa Autisme. Menjadi cabaran luar biasa bagi seorang bapa membesarkan anaknya yang berbeza dengan kanak-kanak lain.

Faktor wow: Sinematografi, jalan cerita dan lakonan yang menyentuh hati.



9) Wayang Sayang - Maxis

Ada elemen humor dan menyedihkan dalam tempoh kurang daripada 4 minit iklan raya Maxis. Sepasang suami isteri berdepan kemelut dalam rumah tangga dan terpaksa berpura-pura apabila di hadapan orang ramai. Namun, segalanya berubah apabila mereka membaca wasiat daripada arwah bapanya.

Faktor wow: Beto Kusyairi! Tak perlu berlebih-lebih dan nampak semulajadi. Penampilannya berambut panjang bikin aura baru yang luar biasa!



10) Pengorbanan Ayah - Hypp Inspirasi

Kisah keretakan hubungan antara adik beradik kerana perkara remeh-temeh dipertontonkan dalam iklan raya Hypp Inspirasi. Seorang ayah lakonan Azlee Senario sentiasa menjadi penyelamat kepada sengketa anak-anaknya. Plot twist apabila bapanya sendiri berkahwin dengan gadis yang menjadi rebutan kedua-dua anaknya.

Faktor wow: Jalan cerita, konsep dan idea yang luar kotak.



Teks oleh: Amri Hassan