Sudah menjadi tradisi setiap tahun Menteri Belia Dan Sukan, YB Brig. Jen Khairy Jamaluddin, mengadakan rumah terbuka pada malam 1 Syawal.

Kata KJ, dia dan isteri, Nori Tun Abdullah enggan bersaing dengan kenalan lain yang biasanya melakukan amalan rumah terbuka apabila tiba hari raya.

"Kami sekeluarga selalunya menyambut raya pada malam raya. Jadi, rumah ini akan dibuka pada malam raya dan semua keluarga dan sahabat handai akan datang ke rumah.

"Ini adalah tradisi ibu saya memandangkan kami tidak mahu bersaing pada hari raya. Ketika itu semua mahu menziarah rumah kenalan lain," katanya kepada Astro Gempak.

Tidak lengkap sambutan raya KJ tanpa hidangan kegemarannya iaitu ayam dan itik golek. Berseloroh, katanya dia sendiri akan menyiapkan hidangan itu untuk dijamu kepada tetamunya.

"Rumah ini wajib ada ayam dan itik golek! Kebetulan pula keluarga saya dan Nori masing-masing sukakan hidangan dari utara itu," katanya.

Mengimbas semula momen sambutan hari raya ketika zaman kanak-kanak, KJ memberitahu dia bersama keluarga akan meraikan Aidilfitri mengikut budaya negara tempat mereka menetap memandangkan arwah bapanya, Datuk Jamaluddin Abu Bakar, merupakan diplomat di kedutaan Malaysia luar negara.

Dilahirkan di Kuwait, membesar di Tokyo, Jepun, bersekolah di Singapura dan menamatkan zaman universiti di London, England mencalitkan pelbagai nostalgia Aidilfitri pada diri Menteri Kabinet termuda Malaysia itu.

"Kehidupan saya ketika zaman kanak-kanak berpindah-randah mengikut negara tempat arwah bapa saya ditugaskan.

"Maka, Aidilfitri saya mengikut lokasi kami sekeluarga berada. Misalnya jika di Jepun, kami akan menyambut raya dengan cara mereka.

"Hari raya juga satu-satunya hari dalam setahun yang mana saya berpeluang pakai baju Melayu dan menjamah hidangan tradisi seperti lemang dan ketupat. Rasanya sangat istimewa," singkap KJ lanjut.

Teks oleh: Amri Hassan