Filem: Transformers: The Last Knight
Pelakon: Mark Wahlberg, Josh Duhamel, Stanley Tucci, Anthony Hopkins
Pengarah: Michael Bay
Genre: Sains Fiksyen, Aksi
Durasi: 149 minit
Penerbit: Don Murphy, Tom DeSanto, Lorenzo di Bonaventura, Ian Bryce
Bintang: ***

Ucapkan selamat tinggal kepada pengarah Michael Bay yang menamatkan penggal pengarahannya dalam francais filem Transformers.

Sentuhan terakhir sutradara itu mungkin menjadi ekpektasi paling tinggi peminat produk Hasbro itu.

Tambah pula, kegemilangan Michael menggarap siri Transformers (2007), Transformers: Revenge of the Fallen (2009), Transformers: Dark of the Moon (2011) dan Transformers: Age of Extinction (2014) membuktikan kerusi pengarahnya sukar untuk ditandingi.

Bagaimanapun, selepas filem Transformers: Age of Extinction yang kecundang daripada segi jalan cerita, lakonan dan kualiti CGI, filem terbaharu Transformers: The Last Knight masih gagal melonjakkan semula produk tersebut.



Durasi filem ini kurang 15 minit daripada filem terdahulu namun, jalan cerita yang terlalu panjang dan berselirat seolah-olah 'memaksa' penonton untuk menghubungkan satu demi satu pecahan plot.

Phasing filem ini lambat dan lebih banyak peluang dihabiskan untuk bercerita tentang sejarah Raja Arthur, Camelot, Merlin dan kesatria lampau.

Bagaimanapun, Michael keluar daripada klise dengan membawa penonton meneroka dunia lautan pula.



Keseluruhan aksi, mood, skrip (jenaka bersahaja) masih boleh dimaafkan.

Filem ini akan menjawab fungsi kewujudan Stonehenge dan jangkakan kemunculan watak-watak baru seperti ahli sihir jahat Quintessa, heroin serba seksi, Viviane Wembly (Laura Haddock) dan watak kanak-kanak tomboy, Izabella (yang dirasakan tiada fungsi).

SINOPSIS

Asas filem ini mengimbas semula peperangan yang berlaku antara tentera Inggeris menentang Saxon sekitar 1,600 tahun lalu ketika dibantu oleh sepasukan robot Transformers.

Transformers: The Last Knight merupakan kesinambungan kejayaan Optimus Prime yang berjaya menumpaskan Lockdown dan mendarat di planet asalnya, Cybertron. Malangnya, ia disihir oleh Quintessa untuk menakluk Bumi.

Cade Yeager (Mark Wahlberg) pula dipilih untuk menjadi pewaris terakhir azimat kesatria Transformers dan harus menentang kuasa jahat yang cuba memusnahkan Bumi.

Namun, berjayakah Cade, Vivien, Optimus Prime dan Autobots menewaskan Megatron dan Quintessa?





Teks oleh: Amri Hassan