Vokalis kumpulan Search, Amy, cuti menyanyi sepanjang bulan Ramadan kerana seronok menjual baju melayu.

Menurut Amy, itu merupakan rutin yang dilakukan sepanjang bulan puasa dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi menjalinkan kerjasama menjalankan perniagaan bersamanya.

"Bulan puasa kali ini saya sibuk menjalankan perniagaan baju melayu dan itu merupakan impian saya sejak dulu lagi kerana saya seronok berniaga.

"Memang dari tahun-tahun lalu, saya tidak akan menerima sebarang tawaran nyanyian ketika bulan puasa.

"Bulan Ramadan merupakan waktu untuk saya berehat dan banyak melakukan amal ibadat.

"Saya bersyukur kerana dapat berkolaborasi bersama Elrah Exclusive menjalankan aktiviti perniagaan baju melayu dengan jubah," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Amy, dia akan berada di Publika untuk turun padang menjual baju koleksi keluarannya.


"Saya berharap agar orang ramai yang ingin mendapatkan baju melayu boleh datang ke gerai saya untuk mendapatkannya dengan harga istimewa.

"Saya juga akan turut serta menjual baju itu sendiri kerana dalam masa saya dapat beramah mesra dengan peminat," jelasnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi