Walaupun wajahnya belum didedahkan, anak sulung Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin sudah mempunyai hampir 23 ribu pengikut di Instagram (IG).

Perkongsian pertama di IG Syeriv dilakukan Sam dan Syatilla pada Ahad lalu, apabila meletakkan tag @syerivsamheizy pada foto sebuah katil bayi yang dimuat naik di IG masing-masing.

"Yeay tak sabar mahu pulang, haa hampa nak tau sangat nama baby boy. Nah itu pergi eja sendiri @syerivsamheizy. Sapa nak tengok muka baby boy? hampa tunggu sat," tulis Syatilla di Instagram miliknya.

Manakala, Shaheizy turut memuat naik gambar yang sama dengan kapsyen menyatakan perasaan terujanya.

"Tinggal beberapa hari sahaja putera @syerivsamheizy akan pulang ke istana dan menguasai katilnya. Yeay!," tulisnya.

Sehingga Ahad, akaun Instagram bayi itu, @syerivsamheizy sudah mendapat lebih 11 ribu pengikut walaupun masih tiada sebarang perkongsian gambar di dalamnya.

Selepas tiga hari, bilangan pengikut @syerivsamheizy naik mendadak dan kedua-dua foto yang dimuat naik menerima lebih 4,000 ‘likes’.

Sehingga hari ini, hanya dua foto Syeriv Samheizy dikongsi pasangan tersebut di IG dan rata-rata pengikut tidak sabar menunggu wajah si kecil yang mempunyai nama unik itu didedahkan.