Pengikut laman Instagram pelakon baru, Iswan Ismail meningkat sebanyak 40,000 pengguna gara-gara penangan drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

"Sebelum saya melibatkan diri dalam drama bersiri ini, pengikut laman Instagram saya ada 15,000 pengguna.

"Kini, pengikut di laman Instagram saya naik mendadak sehingga hampir mencecah 55,000 pengguna.

"Alhamdulillah, saya tak sangka mendapat penerimaan sebegitu baik dan perkara ini membuatkan saya mahu berusaha lebih keras lagi dalam bidang lakonan," katanya ketika ditemui di majlis tayangan eksklusif Hero Seorang Cinderella di GSC, Quill City Mall sebentar tadi.

Tambah Iswan, dia bertuah kerana dapat bergandingan dengan nama-nama popular dalam industri seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Datin Seri Zizie Izette, Uqasha Senrose dan ramai lagi.

"Awalnya, saya rasa tak bersedia untuk berlakon kerana gementar. Saya rasa gemuruh bergandingan dengan nama-nama besar.

"Namun begitu, saya rasa sangat bersyukur kerana mereka banyak memberi bimbingan kepada saya dalam lakonan. Mereka sangat peramah dan membuatkan saya rasa sangat selesa," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Hero Seorang Cinderella setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #HeroSeorangCinderella untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal