Seorang lelaki tidak waras telah bertindak melanggar jemaah yang baru pulang daripada solat tarawih di masjid Finsbury Park, London.

Lelaki tersebut dikatakan berada dalam keadaan mabuk setelah dia keluar daripada sebuah kelab malam.

Menurut Daily Mail, Darren Osborne, 47, telah menyewa sebuah van pada hari tersebut di South Wales sebelum melakukan rempuhan itu.

Dia telah memandu van putih secara laju lalu merempuh sekumpulan jemaah Islam yang sedang keluar daripada masjid tersebut.

Ketika kejadian, seorang lelaki bernama Makram Ali, 52, telah disahkan meninggal dunia manakala seorang remaja lelaki berusia 17 tahun berada dalam keadaan koma setelah dilanggar van itu.

Pihak polis mengesahkan 11 orang lagi telah cedera parah dan mereka dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Osborne sebelum ini telah berpisah dengan isterinya enam bulan lalu dan dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk.

Sumber : Daily Mail
Olahan : Izzat Ridzwan