Pelakon Izzue Islam akui pernah berbuka puasa di kawasan perkuburan.

Perkara tersebut berlaku ketika sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri Kisah Yang Hilang baru-baru ini.

Izzue berkata ia pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjalani penggambaran Ramadan ini.

"Sepanjang Ramadan ini jadual saya penuh dengan penggambaran drama bersiri bergenre komedi seram.

"Jadi kebanyakan masa berbuka puasa dan juga sahur saya terpaksa berada di set penggambaran.

"Pernah satu babak itu kami terpaksa duduk di kubur seharian sehinggalah berbuka puasa pun di kawasan kubur.

"Saya tak tahu nak gambarkan perasaan itu tetapi apa yang boleh saya katakan ia pengalaman yang tidak boleh dilupakan kerana sesiapa pun tidak pernah terfikir akan lakukan begitu.

"Namun saya bersyukur sepanjang penggambaran drama ini tidak berlaku gangguan dan semua berjalan lancar," katanya kepada Astro Gempak.

Jika kebanyakan selebriti lain mengambil kesempatan bercuti di bulan puasa, berbeza pula dengan Izzue.

Izzue berkata sejak beberapa tahun lalu dia belum pernah berpeluang bercuti di bulan Ramadan, sebaliknya terus mencari rezeki seperti biasa.

"Saya tidak pernah tetapkan bila saya akan bercuti, selagi daya dan tawaran berlakon ada saya akan bekerja.

"Saya juga tiada masalah bekerja di bulan puasa kerana sudah biasa.

"Bagi saya selagi orang mahu mengambil saya berlakon, saya terima sahaja," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal