Pelakon dan pengacara, Diana Amir mengakui dia masih belum menerima sebarang tawaran berlakon yang bersesuaian dengan jadualnya.

Apabila ditanya mengapa sudah lama tidak melibatkan diri dalam bidang lakonan, Diana menjelaskan bahawa masa belum mengizinkan untuk dia berbuat demikian.

”Bukan sudah tidak mahu berlakon. Saya masih minat untuk berlakon, cuma masa tidak mengizinkan.

”Sebelum ini memang ada beberapa pihak produksi yang menawarkan saya untuk berlakon, tetapi saya terpaksa tolak.

”Bukan telalu memilih, tetapi saya perlu susun jadual dan bahagikan masa dengan keluarga dan komitmen program pengacaraan,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain sibuk memenuhi jemputan program ilmiah, Diana kini sedang giat mengacarakan program bual bicara di Astro Oasis (saluran 106), Bismillah Ad-Duha yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu.

Diana ditemui ketika program Malaysia Quran Hour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam.

Program Malaysia Quran Hour merupakan acara tahunan yang menghimpunkan masyarakat dari seluruh negara untuk membaca Al-Quran secara serentak selama satu jam.

Program tersebut yang telah dianjurkan buat kali ketiga tahun ini berjaya mendapat penyertaan seramai lebih 5000 orang di Masjid Tuanku Mizan.

Teks oleh : Izzat Ridzwan