Setiap kali menjelang hari Raya Aidilfitri, ibu dan bapalah yang paling sibuk memastikan segala keperluan cukup untuk keluarga.

Namun tahun ini, seorang bapa yang bekerja sebagai posmen telah meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat memenuhi keperluan Aidilfitri keluarganya.

Bapa tersebut telah memuat naik 'surat' yang ditulis kepada 'Dato Pos Malaysia' kerana tidak diberikan bonus kerana prestasi kerjayanya.

Dia turut memuat naik gambar surat penilaian prestasi kerja dari majikannya yang menyatakan dia tidak layak diberikan bonus kerana prestasi kerja yang lemah.



Pada entri tersebut, dia turut meluahkan rasa tidak puas hati diberikan markah bonus yang rendah.

Menerusi surat yang ditulis itu dia memberitahu selama tujuh tahun berkhidmat dia telah bekerja bersungguh-sungguh sehingga sanggup berhujan panas demi tugas.

Posmen tersebut kecewa kerana pengorbanannya tidak berbaloi dan hasratnya untuk menggunakan wang bonus untuk keperluan hari Raya tidak kesampaian.

Berikut merupakan surat yang ditulis posmen tersebut:

"Niat aku bukan untuk burukkan nama syarikat tapi nak buka mata orang atasan terhadap kami2 pekerja bawahan.

Kepada Dato Pos Malaysia yang dihormati,
Saya sebagai perkerja bawahan kurier Pos Laju NP1 buat status ini bukan untuk burukkan syarikat tetapi harus diingat kami perkerja bawahan bermain dengan hujan panas bermandi peluh berlapar dahaga di bawah matahari terik serik sepanjang hari.

Keluar seawal jam 4 pagi masuk kerja balik selewat 9 malam, kerja penat lelah semput sampai sakit masuk keluar hospital, Sabtu kadang-kadang Ahad kami korabankan masa dengan keluarga demi tanggung jawab tapi ini hasilnya pihak atasan bagi kami .

Rm 0 bonus saya dapat tahun ni dengan markah prestasi 44.9 sebelum ini sudah 4 tahun merasa prestasi tahap 2 tapi takpa ada juga hasilnya walau sedikit .

Kami ada anak bini juga untuk diberi makan, diberi pakai lagi-lagi untuk hari raya akan tiba ini.

Saya tahu kadang-kadang saya melawan ketua, MC disebabkan sakit saya, tetapi inikah pembayaran tahunan kerja sepanjang tahun ini?

Saya di luar pejabat cuba buat kerja sehabis mungkin kadang-kadang sampai malam sebab saya fikir memang tanggungjawab saya seorang kurier.

Tolong beri sikit timbang rasa dengan gaji kami yang kecil tidak seberapa ini...Mana mahu bayar rumah, kereta, bil-bil, pakai, makan dan lain-lain.

Diharap status ini dapat sampai ke DATO POS MALAYSIA cuba pertimbangkan balik apa yang saya luahkan.

Tak pernah saya menangis bila lihat surat, ini kali pertama saya menangis mengenangkan anak isteri untuk dibeli segalanya raya ini.

Mohon kawan-kawan share moga-moga sampai ke Dato Pos Malaysia...Minta maaf andai kata saya silap dan beri kurang senang pada sesetengah pihak. Salam dari staff tujuh tahun di Pos Laju KL."


Sumber: Tom Yana Facebook