Peserta Lawak solo, Ridzuan, berkata mempunyai rupa seperti pelawak Nabil Ahmad, tidak memberi kelebihan kepadanya untuk bertahan di pentas Lawak Solo.

Kata Muhammad Ridzuan Ahamad Hsbulah, 22, lagi, paras dan gayanya seperti Nabil membuatkan dia dibandingkan dengan pelawak itu.

"Memang saya telah dilahirkan kebetulan rupa seperti Nabil dan mungkin gaya berlawak saya pun sama seperti dia.

"Bagi saya rupa ini tidaklah begitu sama seperti dia namun mungkin itu merupakan pandangan orang terhadap saya," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, secara jujurnya dia mengakui menjadikan Nabil sebagai idola dalam membuat lawak namun tidak mahu meniru gaya pelawak itu dalam melakukan persembahan.

"Nabil memang idola saya namun tidak sedikit pun saya cuba untuk meniru gayanya dalam melakukan persembahan.

"Saya tidak pernah ingin dibandingkan sama dengan nabil kerana saya mahu untuk mempunyai gaya dan identiti tersendiri," katanya.

Pada malam itu, pelakon Juliana Evans telah dijemput sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua orang juri tetap iaitu Datuk Ac Mizal dan Saiful Apek.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi