Lagi kejadian ponteng puasa terang-terangan di tempat awam, sepasang suami isteri bertindak agresif dengan menengking pengusaha restoran akibat ditegur ponteng puasa.

Situasi tegang itu dipercayai berlaku di Restoran The Chicken Rice Shop, Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang sekitar pukul 1.30 tengah hari semalam.

Pada mulanya, lelaki beragama Islam itu datang bersama wanita yang dipercayai isterinya untuk memesan makanan.

"Masa ambil pesanan, lelaki itu kata isterinya yang makan. Tetapi apabila makanan sampai lelaki itu pula yang makan.

"Apabila kru menegur secara baik untuk menunggu waktu berbuka puasa sebelum menjamah hidangan, lelaki itu menengking kakitangan kami.

"Lantaklah nak makan mana. Kami bayar duit, kubur masing-masing. Itu jawabnya," jelas pengadu itu seperti dilaporkan di laman Facebook Penang Kini.

Menurut undang-undang, pihak restoran akan disaman RM5,000 sekiranya ditangkap Jabatan Agama Islam dengan membenarkan orang Islam makan di premis secara terbuka.

Gambar pasangan itu tular sejak semalam dan mendapat pelbagai kritikan netizen yang menyelar perbuatan terbabit.

"Sepatutnya hubungi Jabatan Agama Islam sahaja. Ya, memang kubur masing-masing tetapi hormatlah orang lain. Memalukan!" tulis Nazwin Rashid.

Namun, ada juga segelintir netizen yang menyalahkan tindakan pengusaha restoran yang membenarkan individu beragama Islam makan di tempat terbuka walaupun uzur.

"Sebenarnya restorak tak perlu hidangkan walaupun perempuan yang nak makan. Kalau dia mahu, dia boleh bungkus dan makan di rumah," tulis Roziami Othman.

"Pengurus restoran bodoh. Walaupun wanita yang pesan makanan, premis patut membungkus bukan menghidangkan di situ juga," tegas Jafarul Warner.



Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Penang Kini