Impian enam beradik untuk menyambut Aidilfitri bersama ayah mereka musnah apabila Mejar Yazmi Mohamed Yusof maut dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kemaman, Terengganu, semalam.

Mikhail Adam Riaz, 11, mengakui mereka adik beradik amat terkejut dan terkilan akan pemergian ayahnya secara tiba-tiba.

Mikhail berkata, ayahnya telah berjanji untuk membawa mereka sekeluarga membeli pakaian raya setelah dia selesai bekerja.

Namun, janji tersebut hanya tinggal kenangan apabila mereka menerima berita tentang kematian bapanya daripada pegawai TUDM.

Anak sulung Mejar Yazmi itu turut berkongsi bahawa dia tidak nampak sebarang tanda-tanda yang ayahnya akan pergi buat selamanya.

"Pagi tadi saya jumpa ayah dan kami sahur sama-sama.

”Selepas tu kami tidur dan kemudian solat subuh bersama.

”Ayah jadi imam seperti biasa setiap kali balik ke Kuantan.

"Saya tak nampak tanda-tanda perubahan pada ayah. Dia pun tak ada pesan apa-apa yang pelik.

”Cuma dia janji nak bawa kami adik beradik beli baju raya lepas balik kerja nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Milkhail berkata ingin mengikut jejak langkah ayahnya sebagai juruterbang pesawat pejuang apabila dewasa kelak.

"Kalau boleh saya hendak kerja macam ayah, dia beri banyak tunjuk ajar dan nasihat," ujarnya sebak.

Yazmi meninggalkan seorang balu, Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi bersama enam anak iaitu Mikhail Adam Riaz, 11, Mukriz Anwar Riaz,10, Muaz Addin Riaz, 7, Mika Adden Fiaz, 4, Mika Ayman Riaz, 4, dan Musa Akhtar Raiz, 3.

Olahan : Izzat Ridzwan
Sumber : Sinar Harian