Pelakon Syafiq Kyle mengakui tertekan dengan masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan berat badannya susut.

Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 25, berkata, dia mengalami tekanan untuk menghidupkan watak sebagai seorang jurugambar dalam drama, Mencintaimu Mr. Fotografer.

"Saya sekarang sedang menjalani penggambaran sebuah drama dan watak kali ini agak berat dari segi penghayatan malah memerlukan saya untuk bermain dengan emosi.

"Saya akui mengalami tekanan kerana karakter kali ini amat berbeza daripada lakonan saya sebelum ini dan mungkin disebabkan itu saya nampak kurus.

"Apabila ditayangkan nanti, penonton mungkin hanya tengok saya dalam tempoh sebulan tetapi sebenarnya saya perlu menjiwai karakter itu selama tiga bulan ketika menjalani penggambaran.

"Sebagai pelakon saya harus untuk menghayati karakter ini juga dan sememangnya saya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Program Raya Astro 2017, di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Syafiq, drama terbaharunya itu akan disiarkan menerusi slot Mega Drama Astro Ria menggantikan Hero Seorang Cinderella bermula 3 Julai depan.

Dalam drama ini, Syafiq akan bergandingan dengan pelakon baru berasal dari Singapura, Hanna Delisha.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi