Seorang gadis berasal dari Kota Kinabalu yang memiliki tahi lalat di seluruh badannya mendapat perhatian ramai apabila kisahnya tular di media sosial.

Evita Patcey Edgar Delmundo, 20, memiliki keistimewaan itu sejak lahir dan sering dipersendakan oleh rakan-rakannya.

Evita yang berdarah campuran Filipina pernah digelar sebagai raksasa ‘Chipsmore’ tetap tidak berputus asa dan menganggap ejekan itu sebagai pembakar semangat untuk dia mengejar cita-cita sebagai model.

“Saya pernah menangis dan menyalahkan takdir kerana dilahirkan sebegini.

“Namun setelah masuk ke sekolah menengah, saya ada sahabat yang baik dan dari situlah saya mula yakin untuk berkawan dengan orang lain.

“Selain mendapat perhatian kerana memiliki wajah yang istimewa, saya juga turut dijadikan inspirasi kepada remaja lain yang memiliki kekurangan agar yakin dengan diri sendiri.

“Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan. Jadi jangan tunjukkan kekurangan, sebaliknya tonjolkan kelebihan yang kita ada,” katanya kepada Harian Metro.

Selain mendapat perhatian netizen yang kagum dengan semangatnya, Evita juga telah dipilih sebagai sumber inspirasi kepada wanita oleh Malaysia Beauty Pagent Fan Club (MBPFC).

Menurut MBPFC, Evita akan menyeratai uji bakat pertandingan ratu cantik di Kota Kinabalu dan mereka akan memberi sokongan penuh kepadanya.

Evita yang kini memiliki 20 ribu pengikut di Instagram sering mendapat kata-kata semangat daripada pengikut dan rakan-rakannya selain mereka turut mengagumi keyakinan dan semangat Evita berdepan dengan masyarakat.

Teks oleh : Izzat Ridzwan
Sumber : Harian Metro