Tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum, netizen bersangka baik atas kejadian tular lokasi popular ponteng puasa di ibu negeri Perak.

Lapor Perak Today, menerusi tinjauan yang dilakukan pada pukul 12 tengah hari, kehadiran beberapa buah kenderaan yang menunggu seakan-akan 'drive thru' menimbulkan tanda tanya.

Sedang deretan kenderaan terbabit menunggu di luar restoran, beberapa pelayan keluar menghantar bungkusan ke setiap kenderaan yang sedang menanti.

Pelanggan pula tidak perlu bersusah payah keluar dari kenderaan untuk mendapatkan pesanan.



Menurut seorang pengguna media sosial, restoran itu dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina dan hidangan Nasi Kandar Ayam Merah serta Nasi Ganja antara menu terlaris di premis itu.

Malah, restoran itu sering dikunjungi oleh pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan agama setiap hari.

Isu itu mengundang perdebatan hebat di laman sosial Facebook rasmi Perak Today sejak semalam.

"Puasa atau tidak, itu masalah mereka. Asalkan bukan makan di khalayak ramai, sudah. Tak salah di sisi undang-undang syariah negeri. Bukan hak kita untuk menghakimi orang lain," tulis Shaifuzan Bahari.

"Kalau waktu tengah hari orang membeli sebab ada ruang waktu, pukul 5 selepas habis waktu kerja balik rumah terus untuk berbuka puasa. Apa masalahnya?" getus Mira Kafley.

Anggerik Ladybird pula anggap hidangan itu dibelikan untuk individu lain. Tulisnya; "Kadang-kadang yang datang beli bukan untuk dirinya tetapi mungkin untuk isteri yang uzur atau anak-anak."


Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Perak Today