Untaian lagu popular juara bintang Akademi Fantasia 2, Zahid Baharuddin seperti Menari Denganku, Caramu dan Milikku memang tidak asing.

Namun, selepas kali terakhir muncul dengan single Lupakan dua tahun lalu, Zahid, 37, seolah-olah mengiyakan judul lagu itu. Kemanakah hilangnya Zahid?

Astro Gempak mendapatkan semula Zahid untuk menjelaskan situasi sebenar.

Jelas Zahid, selain sibuk menguruskan perniagaan sepanjang beberapa tahun ke belakang, dia kini tidak menang tangan mengendalikan stesen radio dalam talian, Viral FM.

"Saya menjadi penyampai radio tetap di Viral FM yang disiarkan dalam talian untuk aplikasi Raku bersama Aril Pilus sejak enam bulan lalu.

"Dalam masa sama saya menguruskan perniagaan makanan Beger Bro dan Mangga Mentol. Jadi, masa saya banyak dihabiskan bukan dalam bidang nyanyian.

"Namun, selepas Aidilfitri saya akan melancarkan single terbaru berjudul Dikir Gila Gempak ciptaan Omar K dan lirik 70 peratus saya hasilkan sendiri.

"Lagu itu belum lagi dirakamkan dan uniknya ia merupakan sebuah lagu genre R&B namun diselitkan elemen tradisional," katanya yang ditemui pada Majlis Pelancaran Lagu Raya Artis SRC di Neway One Utama semalam.



Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini Zahid, 37, telah merakamkan lagu raya berjudul Jom Balik Raya bersama artis-artis Suria Records seperti Wanie Kayrie, Syuhada, Yoyo dan Putera Muhammad.

Lagu Jom Balik Raya mendapat sentuhan daripada komposer S. Atan dan dimuatkan dalam album kompilasi Jom Balik Raya.

Album Jom Balik Raya mengandungi 16 buah lagu raya popular sepanjang zaman antaranya Anugerah Aidilfitri, Nazam Lebaran, Sesuci Lebaran, Air Mata Syawal (Datuk Siti Nurhaliza), Gema Lebaran (Erra Fazira), Balik Kampung (New Boyz), Halal Bihalal (Noraniza Idris) dan Tibanya Syawal Bahagia (Liza Hanim).

Album tersebut dijual secara dalam talian di 11 Street dan laman rasmi Suria Records.

Teks oleh: Amri Hassan