Pendatang baru, Fitri Hiswady tidak berasa malu apabila dirinya digelarkan sebagai penyanyi dangdut.

Selepas menjuarai program Dangdut Star serta meraih tempat keempat dalam rancangan realiti Indonesia, D Academy Asia siaran stesen televisyen Indosiar, perjalanan karier Fitri berlangsung dengan baik.

"Alhamdulillah, perjalanan seni saya berjalan dengan lancar walaupun kebanyakan rezeki dan tawaran yang datang melibatkan saya dengan muzik dangdut.

"Pada awal penglibatan saya dalam industri muzik, irama dangdut adalah genre yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan irama dangdut sebagai genre utama.

"Saya percaya pada rezeki yang Tuhan telah tetapkan. Namun begitu, saya juga tak mahu terikat dengan satu genre sahaja, saya mahu menunjukkan kredibiliti dan kemampuan saya untuk menyampaikan genre yang berbeza," katanya.

Dalam perkembangan terbaru. Fitri kini muncul dengan single pertama yang berjudul Bila Syawal Tiba. Mengambil langkah berani, Fitri muncul dengan lagu Raya sebagai single pertama.

"Lagu ini merupakan ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan liriknya pula ciptaan Lok Gha. Saya mengambil pendekatan untuk menjadikan lagu Raya sebagai single pertama kerana saya sendiri menggemari suasana Raya.

"Saya berharap single ini meraih perhatian pendengar. Semestinya saya mahu lagu ini menjadi malar segar setiap tahun kerana lagu Raya merupakan satu lagu yang boleh membangkitkan semangat kita semua untuk menyambut lebaran dengan riang dan gembira. Dengan terhasilnya lagu ini, saya harap Bila Syawal Tiba dapat diingati dan diputarkan setiap kali datangnya Aidilfitri," kata Fitri lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal