Sebuah video 'prank' yang dihoskan oleh Alvin Chong telah tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi video itu, Alvin berlakon menjadi seorang pengguna di sebuah kedai dobi yang mahu membersihkan kucingnya dengan menggunakan mesin basuh.

Reaksi spontan orang awam yang berada di lokasi tersebut dirakamkan menerusi beberapa buah kamera tersembunyi.

Situasi bermula apabila Alvin mengambil haiwan peliharaannya yang dibawa bersama kemudiannya memasukkan ke dalam mesin basuh namun, alatan itu sebenarnya telah diubah suai untuk individu lain menyelamatkan haiwan itu dari bahagian belakang.

Sejurus mesin basuh dihidupkan, individu yang berada di belakang mesin basuh memainkan bunyi haiwan berkenaan yang mengiau dengan kuat konon-kononnya sedang 'dibasuh'.




Orang awam yang terkejut dengan tindakan Alvin memarahi pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu sampai ada yang bertindak ganas memukulnya.

Malah, terdapat juga orang awam yang terganggu dengan tindakan Alvin sehingga terpaksa meminta bantuan daripada penduduk sekitar untuk menyelamatkan kucing itu.



Ada juga pengguna dobi yang terkejut dengan tindakan Alvin dan melarikan diri kerana ketakutan.

Video yang dikongsikan di Facebook pada mulanya itu telah ditonton lebih 760,000 kali, 2,000 komen dan mendapat 8,400 perkongsian.



Netizen rata-ratanya terhibur dengan perancangan rapi Alvin bersama kumpulannya untuk mengenakan orang awam dengan cara sedemikian.

"Bagus... Saya suka reaksi orang awam terhadap penderaan haiwan. Ini juga boleh jadi idea yang bagus untuk iklan komersial mesin basuh atau produk syampu kucing," tulis Benn Sibin.

Namun, ada juga netizen yang berang dengan idea 'prank' Alvin.

"Mujur aku tidak menjadi mangsa prank itu. Kalau tidak aku terajang setiap seorang walau aku tahu itu prank! Tak kelakar pun," luah Azra Ad Mohamad.

"Tahniah atas pengaruh video ini. Sekarang kanak-kanak sudah boleh melakonkan semula di rumah bersama kucing mereka dan mesin basuh," tulis Jo El sarkastik.




Teks oleh: Amri Hassan