Peminat Super Junior memohon supaya Sungmin dikeluarkan daripada kumpulan itu kerana bersikap sombong.

Menurut laporan Koreaboo, peminatnya berang kerana Sungmin tidak mempedulikan mereka selepas berkahwin dan memboikot kerjaya seni penyanyi itu.

Kelab komuniti peminat Super Junior yang paling berpengaruh, DC Super Junior Galeri juga meminta supaya Sungmin tidak lagi meneruskan aktiviti bersama kumpulan itu menerusi satu kenyataan rasmi.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sikap Sungmin yang tidak menghormati peminatnya.

“Sikap sombongnya terhadap peminat bukan sahaja merugikan dirinya tetapi Super Junior.

“Ketika khabar angin mengatakan dia sedang bercinta, rata-rata peminat mengucapkan tahniah kepadanya.

“Namun apabila peminat bertanyakan mengenai khabar angin itu, dia buat tidak tahu saja. Jadi apabila mereka mengetahui perkara itu menerusi media, peminat mula merasa kecewa.

"Selepas berkahwin, dia juga tidak pernah lagi memuat naik gambar atau memberi gambaran mengenai perkahwinannya.

"Pendek kata, kami langsung tidak tahu mengenai kehidupannya lagi sejak Sungmin berkahwin, jadi kami sarankan supaya dia berhenti dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bersama Super Junior,” katanya.

Sungmin telah berkahwin dengan pelakon, Kim Sa Eun pada tahun 2014.