Penyanyi yang sedang mencipta nama di Indonesia, Rizky Febian teruja dapat menjalin kolaborasi bersama penyanyi terkenal Malaysia dan Singapura.

Rizky bersama Fatin Shidqia mewakili Indonesia manakala Siti Nordiana, Ismail Izzani, Alvin Chong bersama Kashika mewakili Malaysia dan Sufi Rashid pula menjadi wakil Singapura.

Mereka berpadu vokal dalam lagu terbaru yang berjudul Raya Nusantara. Lagu tersebut merupakan projek istimewa Astro Ceria sempena kedatangan Syawal tahun ini.

“Ini merupakan projek pertama saya dalam usaha untuk menggandingkan penyanyi yang berasal dari tiga negara dalam satu lagu. Saya teruja untuk menjayakan projek istimewa ini dan proses rakaman berjalan lancar.

“Lagu ini menyatukan tiga negara serumpun yang meraikan sambutan Syawal dalam nafas nusantara. Muzik video bagi lagu Raya Nusantara ini juga sudah disiarkan di laman YouTube dan mendapat respon positif,” kata Rizky kepada Astro Gempak ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdaya Program Raya Astro 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terkenal menerusi single Kesempurnaan Cinta, Rizky baru sahaja muncul dengan single terbaru yang berjudul Cukup Tau.

“Selepas single Kesempurnaan Cinta dan Penantian Berharga, saya kini muncul dengan lagu Cukup Tau. Dilancarkan pada hujung April lalu, muzik video lagu Cukup Tau kini meraih hampir lima juta tontonan di laman YouTube.

“Saya dalam juga dalam perancangan untuk muncul dengan album solo pertama. Sebelum ini saya pernah muncul dengan album mini dan saya rasakan selepas ini sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan album studio penuh pula,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal