Pelakon Afiq Muiz gementar menantikan tarikh tayangan filem pertama lakonannya, Aku Bukan Terrorist.

Filem terbitan White Merpati Entertainment itu membariskan Afiq dan Chacha Maembong sebagai pelakon utama.

“Filem ini merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama. Sejujurnya, saya berdebar menantikan tarikh tayangan filem ini serta gementar menantikan penerimaan penonton yang bakal ke pawagam.

“Menariknya, filem arahan pengarah muda Arjin Uppal ini banyak menjalani penggambaran di luar negara. Kami berkampung di Kashmir, India sekitar tahun lalu untuk menjayakan filem ini,” kata Afiq kepada Astro Gempak ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdaya Program Raya Astro 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Afiq, filem Aku Bukan Terrorist juga menyaksikan dirinya banyak berdialog dalam Bahasa Hindi untuk menjayakan sebahagian besar babak dalam filem ini.

“Saya harus berdialog dalam Bahasa Hindi. Secara jujur, agak sukar untuk saya mempelajarinya tetapi saya diberi persiapan sebelum melangkah ke lokasi penggambaran.

“Sebulan sebelum masuk ke set, saya telah mempelajari dialog dalam Bahasa Hindi terlebih dahulu agar sebutan dan penjiwaan yang bakal saya sampaikan benar-benar dalam laras bahasa yang betul,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal