Penyanyi Ezlynn mengakui harus berdikari dalam meneruskan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.

Menurut Ezlynn, perjalanan seninya kini diuruskan oleh syarikat pengurusan artis, Indigital, selepas mengambil keputusan untuk keluar daripada pengurusan suaminya, Adam Fahmy.

"Tempoh 11 tahun itu cukup lama bagi saya berada di bawah syarikat pengurusan suami dan sekarang biarlah saya mengambil keputusan untuk berada dengan syarikat pengurusan baru pula.

"Keputusan ini diambil adalah untuk kebaikan kerjaya seni saya dan sekurang-kurangnya saya mampu untuk berdikari kerana sebelum ini segalanya dilakukan oleh suami.

"Keluarga juga memberi kebebasan kepada saya untuk membuat keputusan dan saya bersyukur kerana mereka faham serta hormat dengan apa yang saya ingin lakukan," katanya kepada Astro Gempak.

Ezlynn ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Indigital Sdn Bhd dan program Ramadan Muzik-Muzik di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ezlyn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 35, telah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada awal Januari lalu.

Pasangan itu kini sedang menjalani proses kaunseling dengan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Ezlyn dinasihatkan untuk tidak mengulas lanjut mengenai prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

Ezlyn dan Adam telah mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi