Bekas bintang Gegar Vaganza 3 (GV3), Intan Sarafina sudah melalui proses rakaman tiga buah lagu untuk dimuatkan dalam album terbarunya.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sudah berjaya merakamkan tiga lagu baru. Saya bercadang mahu muncul dengan 'mini album' yang mempunyai enam buah lagu.

"Saya berharap agar proses tersebut berjalan lancar kerana saya sendiri sudah lama tidak muncul dengan sebarang album atau produk.

"Single pertama saya bakal muncul selepas sambutan Syawal dan buat masa ini, saya masih merancang untuk memilih lagu mana yang bakal saya jadikan single pertama," kata Intan kepada Astro Gempak ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdaya Program Raya Astro 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Bercerita mengenai persiapan untuk menyambut Hari Raya, Intan menyediakan empat pasang baju untuk menyambut Syawal kelak.

"Setakat ini semua persiapan berjalan lancar. Untuk saya sendiri, sudah ada empat pasang baju Raya. Baju Raya untuk anak-anak dan suami juga lebih kurang bilangannya dan sudah pun ditempah.

"Sambutan Hari Raya kami sekeluarga akan berjalan dalam keadaan sederhana tetapi meriah. Insya-Allah sebelum sambutan Syawal, semuanya akan tersedia," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal