Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menjadi ayah kepada pasangan kembar yang dilahirkan oleh seorang ibu tumpang, lapor media Portugal, semalam.

Laporan menyatakan pasangan kembar lelaki dan perempuan yang diberi nama Eva dan Mateo itu, lahir pada Khamis oleh seorang wanita yang tinggal di sebelah pantai barat Amerika Syarikat (AS).

Kapten Portugal itu sudah pun memiliki seorang anak lelaki bernama Cristiano Junior yang dilahirkan pada 2010.

Ia turut dilahirkan menerusi ibu tumpang namun dia tidak pernah mengesahkan perkara itu. Akhbar tabloid British, The Sun melaporkan pemenang empat Ballon d'Or itu bakal menjadi ayah kepada pasangan kembar, Mac lalu.

Penyerang berusia 32 tahun itu sedang berpacaran dengan model Sepanyol, Georgina Rodriguez.

Laporan ini muncul selepas dunia selebriti turut menyambut satu lagi pasangan kembar, Ella dan Alexander yang dilahirkan oleh Amal Clooney, isteri kepada, George Clooney, awal minggu lalu.

Sumber: BH Online