Bekas pengacara Top Gear, Richard Hammond telah terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri ketika sedang menjalani penggambaran musim kedua program The Grand Tour.

Ketika kejadian pasangan pengacara Hammond, iaitu Jeremy Clarkson dan James May turut berada di lokasi kejadian.

Malah, Jeremy sempat mengemas kini mengenai kemalangan dasyat tersebut di laman sosial Twitternya.



Menurut laporan BBC News, Hammond sedang memandu sebuah kereta buatan Croatia, Rimac Concept One sebelum terbabas di selekoh tajam kawasan berbukit Hemberg, Switzerland.

‘Electric Supercar’ tersebut dilihat berguling ke lereng bukit sebelum meletup dan hangus terbakar.

Hammod bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius, malah berjaya merangkak keluar dari kenderaan tersebut sebelum terbakar.

Hammond dibawa ke hospital berdekatan dan dilaporkan mengalami keretakan pada lutut.


Ini bukan kali pertama Hammond terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya.

11 tahun lalu, Hammond mengalami kecederaan serius di kepalanya selepas mengalami kemalangan semasa menguji kenderaan berenjin roket pada kelajuan 463 kmsj untuk program TopGear.

Akibat kemalangan tersebut, Hammond koma selama dua minggu.

Yang terbaru sebelum kejadian semalam, pada awal bulan Mac 2017, Hammond beberapa kali terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya ketika penggambaran The Grand Tour di Mozambique.