Pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan mengatakan dirinya semakin sombong selepas popular menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila ada spekulasi yang mengatakan pelakon tinggi lampai ini kerap kali menolak tawaran sesi fotografi dan enggan bergambar secara berpasangan.

Bagaimanapun Fattah menjelaskan jadualnya kini sangat padat dan apa yang berlaku itu hanyalah salah faham.

"Dakwaan yang kata sombong itu saya tak boleh nak kata apa bagi saya sebagai artis tuduhan itu biasa.

"Kita tak boleh nak halang orang daripada berkata apa-apa tentang diri kita tak kiralah sama ada perkara negatif mahupun positif.

"Mengenai sesi fotografi itu apa yang boleh saya jelaskan ialah perkara yang berlaku ini hanyalah salah faham saja.

"Untuk pengetahuan semua, jadual saya sekarang ini sangat padat.

"Kadang-kadang ada beberapa permintaan yang terpaksa ditolak memandangkan slot yang diminta terkena pada hari yang tidak sesuai ataupun clash dengan event yang lain," katanya ketika ditemui Astro Gempak pada sesi Meet and Greet Suri Hati Mr. Pilot bertempat di GSC pavillion semalam.

Tambah Fattah lagi segala jadual berkenaan dengan kerja diuruskan oleh pihak pengurusannya.

"Saya ada manager, jadual saya memang dia yang uruskan dan bukan saya yang buat keputusan.

"Mustahil bagi saya untuk menolak segala tawaran yang diberikan dengan sesuka hati.

"Jadi saya rasa perkara yang berlaku ini semuanya hanyalah salah faham saja," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai drama tersebut, Fattah memberitahu dia bersyukur kerana mendapat sambutan diluar jangkaan.

"Saya tak sangka drama ini mampu menjadi fenomena sehingga mana-mana saya pergi ramai yang panggil Ejaz.

"Terima kasih kepada penonton dan juga pengarah, Michael Ang kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak Ejaz," ujarnya

Jangan lupa saksikan drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot yang bersiaran di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123), setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam!

Teks oleh: Mya Amri