Penyanyi Siti Nordiana memperlahankan aktiviti seni untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan.

"Sempena kedatangan bulan yang penuh mulia dan keberkatan ini, saya memperlahankan aktiviti seni. Alhamdulillah, bulan ini digunakan untuk beribadat dan saya juga menghabiskan masa bersama anak.

"Jika ke majlis hiburan pun, saya menghadiri jemputan untuk berbuka puasa. Saya tidak terlalu sibuk di bulan Ramadan kali ini," kata penyanyi yang dikenali dengan nama Nana ini.

Turut terlibat dengan rakaman program televisyen sempena Hari Raya, semuanya sudah diselesaikan oleh Nana sebelum Hari Raya.

"Saya juga banyak terlibat dengan program-program istimewa sempena Hari Raya. Tetapi semuanya telah dirakamkan sebelum bulan Ramadan.

"Kesempatan ini saya dapat gunakan dengan baik untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Nana giat mempromosikan single terbaru ciptaannya yang berjudul Terus Mencintai.

Teks oleh: Kamaruddin Razal