Penyanyi lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita mengakui Ramadan kali ini merupakan bulan yang agak sibuk bagi dirinya.

Pertama kali meraikan kedatangan Ramadan selepas namanya dikenali, Wany merindui untuk mempunyai masa sendiri.

"Sambutan Ramadan kali ini agak berbeza. Di samping mengambil masa untuk beribadat di bulan yang mulia ini, saya agak sibuk memenuhi undangan sebagai seorang penyanyi dan turut mempromosikan lagu baru bersama Tajul.

"Kadangkala rasa rindu untuk mempunyai masa untuk diri sendiri. Saya seorang yang 'lone ranger', saya gemar buat perkara yang saya suka sendiri.

"Tetapi bila difikirkan semula, walaupun kini saya agak sibuk, saya gembira kerana saya buat apa yang saya suka dan peminat mula menerima kehadiran saya dalam arena seni suara," kata Wany kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, Wany sedang giat mempromosikan lagu duet bersama Tajul yang berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu ciptaan sepenuhnya oleh Patrick Khamis.

Teks oleh: Kamaruddin Razal