Ahli kumpulan Puteh, Mamak, meluahkan kemenangan di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) tidak membawa apa-apa makna kepadanya.

Mamak atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiaruddin berkata, walaupun kumpulan Puteh yang diwakilinya dan Ali menduduki tempat ketiga, kemenangan tersebut hambar kerana kehilangan ibu tercinta sehari selepas program tersebut berakhir.

“Sudah lima bulan ibu pergi meninggalkan saya. Kalau dikenang kembali detik itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.

“Imbas kembali kemenangan saya pada MLM 2016 yang lalu, ibu sihat sebelum saya datang ke Johor Baharu dan ada menyatakan keiginannya untuk ikut bersama ke sana. Tetapi, kakak saya tidak membenarkannya kerana bimbang ibu tidak larat menunggu lama.

“Saya masih ingat pesan terakhir ibu, supaya buat yang terbaik kerana dia sentiasa mendoakan saya berjaya,” katanya sebak.

Tambahnya lagi, dia mendapat panggilan telefon daripada kakaknya yang memaklumkan ibu sedang tenat selepas berakhirnya program MLM 2016.

“Saya terus pulang ke Pulau Pinang selepas dimaklumkan tentang keadaan ibu. Sepanjang perjalanan saya tidak putus-putus doakan ibu.

“Tetapi Allah SWT lebih sayangkan ibu. Buat pertama kali, air mata lelaki saya gugur. Allahu, pedihnya rasa kehilangan ibu, tiada lagi doa seorang ibu kepada saya,” ujarnya sedih.

Dalam pada itu Mamak sempat berpesan kepada semua agar menghargai ibu dan bapa selagi mereka masih ada di dunia ini.

“Saya kehilangan bapa ketika berusia dua tahun. Jadi ibu tempat saya bermanja, dia jugalah bapa kepada kami.

“Hargailah kedua orang tua kita selagi ada kerana apabila terputusnya doa dari mereka, anda akan merasai betapa kosongnya hidup,” katanya mengakhiri perbualan.

Jom kita imbas kembali persembahan terakhir Mamak di pentas akhir MLM 2016 yang lalu:

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin