Tidak menyimpan dendam, Aidil Aziz percaya kemaafan mampu membunuh perasaan benci dan curiga masyarakat terhadap dirinya.

Peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya sembilan bulan lalu memberikan tamparan hebat untuk mengenal erti kasih sayang dan persahabatan.

"Walau apa yang sudah orang lakukan dan tohmah bukan-bukan, memaafkan itu perkara terbaik yang boleh saya lakukan. Saya rasa lebih tenang tanpa dendam.

"Saya percaya Allah sayangkan kita dan sentiasa memberikan sinar baharu dalam kehidupan sehari-hari.

"Masyarakat mengutuk, mengeji dan menghina saya bukan-bukan ketika saya berdepan episod hitam dalam hidup. Saya tidak salahkan sesiapa, saya maafkan dan serah segala urusan kepada Allah. Itu cara terbaik untuk saya pandang ke depan," ujarnya eksklusif kepada Astro Gempak.

Aidil percaya dia masih memiliki keluarga yang sentiasa ada ketika dia dilanda kesulitan dan sebilangan kawan yang masih tersisa untuk membantunya menjalani hidup baru.

"Saya yakin apa yang saya lakukan sekarang lebih baik dan saya mahu pandang ke hadapan.

"Keluarga dan kawan-kawan yang saya ada, itu harta paling bernilai bagi saya. Mereka yang tidak pernah kering mengutuskan doa sepanjang dua bulan saya di penjara.

"Untuk saya menjaga hati 30 juta rakyat Malaysia yang menuduh saya macam-macam memang tidak dapat, tetapi doa saya agar Allah lembutkan hati mereka," tambahnya.

Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 28, kini disahkan bebas daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 456 gram September lalu menerusi keputusan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Pelakon drama Lara Terindah itu ditahan bersama Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36, dan R. Guevara Cortez di sebuah kediaman di Jalan Ampang.

Pada 7 Oktober 2016, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Aidil sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri 40 episod dan giat mempromosikan bisnes jeruk mangga asam boi, King Mangifera.

Teks oleh: Amri Hassan