Pengarah Michael Ang mengakui dia ada memarahi bakat baru, Fikry Ibrahim di lokasi penggambaran drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

Dikenali menerusi program realiti Lawak Solo, naskah berdurasi 24 episod ini merupakan drama bersiri pertama lakonan Fikry.

“Fikry merupakan seorang pelakon pelapis yang mempunyai bakat dan boleh dibentuk. Pada awalnya, Fikry berhadapan dengan situasi sukar untuk melakonkan watak Farizzam.

“Disebabkan penggambaran drama bersiri ini berlangsung agak ‘rushing’, saya akui, saya ada termarah Fikry di lokasi tetapi semuanya berbentuk teguran dalam membaiki mutu lakonannya.

“Fikry faham dengan situasi tersebut. Dia juga pernah berkata kepada saya, jika dia ada membuat sebarang kesalahan dalam lakonan, dia minta tunjuk ajar. Sempena kedatangan Ramadan, saya ingin memohon maaf jika dia terasa.

“Fikry mula sebati dengan watak Farizzam dan bakat lakonan yang ditonjolkan juga semakin baik,” kata Michael kepada Astro Gempak.

Duduk di kerusi pengarah drama bersiri Hero Seorang Cinderella bersama Hadith Omar, Michael bersyukur kerana naskah tersebut mendapat respon positif penonton.

“Ramai peminat memberikan respon positif selepas drama bersiri ini ditayangkan. Saya sangat bersyukur dengan sambutan baik yang diterima.

“Selepas ini, saya bakal mengarahkan drama bersiri terbaru berjudul Red Velvet. Menerusi drama bersiri tersebut, saya akan menggandingkan Alif Satar bersama Neelofa sebagai teraju utama,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Hero Seorang Cinderella yang bersiaran bermula 22 Mei, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #HeroSeorangCinderella untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal