Filem: Wonder Woman
Pelakon: Gal Gadot, Chris Pine, Robin Wright
Pengarah: Patty Jenkins
Genre: Fantasi, Sains Fiksyen
Durasi: 141 minit
Penerbit: Charles Roven, Deborah Snyder, Zack Snyder, Richard Suckle
Bintang: ****

Peminat setia karakter adaptasi komik DC Wonder Woman perlu tahu filem keempat yang dikeluarkan oleh DC Extended Universe ini merupakan karya yang hebat.

Walau seminggu ditayang, peminat sudah ternanti-nanti sekuel kedua filem arahan Patty Jenkins itu. Mungkinkah akan ada Wonder Woman 2?

Ternyata, filem Wonder Woman yang sudah ditayangkan sejak 2 Jun lalu memberikan ramuan yang cukup lengkap; padat aksi, sarat mesej feminisme dan bukti DC Comics sebenarnya mampu menghasilkan filem bermutu tinggi!



Wonder Woman sebenarnya penebus kesilapan filem Batman vs Superman yang diterbitkan terdahulu.

Dalam filem itu, watak Wonder Woman ditampilkan pertama kalinya dalam versi lebih elegan dan profesional.

Kemudian, dalam Wonder Woman, watak Diana Prince (Gal Gadot) diperankan secara berkesinambungan sebagai seorang gadis yang berpendirian tinggi, mahu menjadi perwira dan akhirnya dilatih oleh pahlawan paling mahir di negaranya.

Gal Gadot wanita paling sesuai menyandang peranan Wonder Woman. Cantik dan bersosok fizikal yang gagah.



Karakter Diana kemudiannya diwarnakan lebih naif dan disokong oleh watak Steve Trevor (Chris Pine).

Perkembangan watak Diana juga lebih dinamik walau jam pertama filem itu agak perlahan.

Emosi dan jalan ceritanya pun lebih relaks. Suntingan kesan khas, tona warna filem (berlatar belakang zaman Perang Dunia II) dan babak pertarungan (dibantu rekaan kostum) juga antara momen terbaik dalam filem Wonder Woman.

Namun, duga yang tak terduga kerana penamat filem ini bukan kesudahan terindah bagi sesebuah filem adiwira.

Berdasarkan sentuhan terbaik yang diberikan DC Extended Universe kali ini, penonton pun sepatutnya sudah ghairah menunggu sekuelnya akan datang!



SINOPSIS

Filem ni mengisahkan adiwira wanita, Diana Prince (Gal Gadot) dari puak Amazon yang tinggal di sebuah pulau rahsia, Themyscira berjuang menentang kejahatan di dunia.

Seorang pegawai perisik Amerika Syarikat Steve Trevor (Chris Pine) terkandas di pulau tersebut apabila kapal terbang yang dinaikinya terhempas dan dia diselamatkan oleh Diana.

Diana yang mula menaruh rasa cinta dengan Steve mengambil keputusan untuk mengikut Steve kembali ke London dalam usaha untuk menumpaskan Dewa Perang Ares.

Dalam dunia sebenar manusia, Diana mula belajar tentang kehidupan, kesetiaan dan kasih sayang.



Teks oleh: Amri Hassan