Berjuang menentang penyakit kanser rahim dua tahun lalu benar-benar membuka lembaran baru dalam kehidupan Datuk Sharifah Shareen Nashreen Al-Mashoor.

Bagi Shareen, 37, dia percaya setiap kejadian dan ujian yang berlaku dalam hidupnya adalah hikmah di sebalik musibah.

"Ketika umur masih muda saya berpeluang merasai semuanya dalam hidup. Namun apabila disahkan menghidap kanser rahim, tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan seorang wanita apabila segala-galanya diambil sekelip mata. Rasa tidak adil!

"Tapi sebenarnya lagi banyak Allah bagi, lagi kita tidak sedar diri dan jalan terbaik adalah kembali ke pangkal jalan. Musibah itu jalan terhebat untuk lebih berjaya dunia akhirat," katanya dalam temubual bersama rancangan Inspirasi Taqwa.

Bagi yang kurang mengenali Shareen, wanita kelahiran Pulau Pinang itu merupakan jutawan perniagaan cenderahati dan pakaian korporat yang sudah memiliki kilang di United Kingdom, Iraq dan Bahrain.

Menerusi syarikatnya, Prestasi Meriah Sdn. Bhd., Shareen mengeluarkan produk seperti botol air, tuala, bingkai gambar dan baju korporat kepada pelbagai syarikat gergasi Malaysia termasuk Qu Puteh.

Menceritakan kembali permulaan hidupnya selepas kehilangan ayah tercinta, Shareen terpaksa meleburkan cita-citanya sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik di Wisma Putra Kuala Lumpur untuk pulang ke pangkuan ibunya di Pulau Pinang.

"Saya tiada duit ketika itu, bermodalkan RM10 saya mengisi kredit panggilan telefon dan menghubungi semua kenalan arwah walid (bapa) saya meminta bantuan untuk memulakan bisnes.

"Kemudiannya saya dipertemukan dengan seorang lelaki berbangsa Cina yang meminta saya membuat 1,000 kaki payung. Padahal saya langsung tiada duit. Tidak disangka-sangka dia membayar semua kos tersebut, dapatlah modal dan untung sedikit," ceritanya bersungguh-sungguh.

Ilmu berniaga Shareen diwarisi arwah bapanya yang dahulunya sering menghasilkan kemeja-t rumah sukan sekolah.

Shareen bergiat aktif sebagai sukarelawan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain meluangkan masa pada tiga minggu pertama Ramadhan di Maahad Tahfiz Yala, Thailand, yang ditubuhkannya beberapa tahun lalu.

Inspirasi Taqwa dibawakan oleh Vivo. VIVO V5S | Selfie Sempurna. Ditayangkan setiap hari Rabu pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.

Teks oleh: Amri Hassan