Puasa tidak menghalang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merealisasikan impian untuk menawan puncak tertinggi Malaysia sempena Larian Obor Kuala Lumpur 2017.

Laluan yang merentasi setiap negeri seluruh Malaysia akhirnya melalui Gunung Kinabalu pada 4 Jun lalu sebelum ke negeri Sarawak.

Itu merupakan pendakian sulung Khairy di Gunung Kinabalu selain dicabar dengan ujian mendaki pada bulan Ramadhan.

Netizen pula memberikan pujian kepada Khairy sepanjang tempoh pendakian setelah figura itu mengemaskini laman sosial Twitter dan Instagram miliknya.

"Steady YB puasa pun boleh mendaki," tulis Zulkarnain Masrom.

"Alhamdulillah, obor KL2017 sampai ke puncak Kinabalu. Tahniah Chief dan rombongan Rimau. Kami sangat bangga," ucap Mohamad Fitri.

"Wah! Bukan mudah. Banyak latihan sebelum, daya tahan ketika mendaki dan akhirnya sampai. Tahniah," kata Qeen.

Khairy membawa obor KL2017 bersama 24 orang pendaki termasuk maskot rasmi Sukan SEA, Rimau dan melibatkan laluan sejauh 4,095.2 meter.

Pendakian itu lebih signifikan kerana dilakukan pada hari ulang tahun memperingati tragedi dan mangsa gempa bumi Sabah dua tahun lalu.



Sabah adalah destinasi kelima larian obor itu dan dijadualkan menjelajah beberapa daerah utama iaitu Ranau, Keningau, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Larian Obor 2017 merupakan sebahagian daripada kempen Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.





Teks oleh: Amri Hassan