Ini bukan lakonan! Tetapi Raja Bollywood, Shah Rukh Khan betul-betul bengang dan marah ketika di'prank' sebuah program.

Aksi pelakon itu dirakamkan dalam sepotong video yang sedang viral di India dan negara Timur Tengah untuk sebuah rancangan prank yang dihoskan oleh pelawak Mesir, Ramez Galal di padang pasir Dubai.

Shah Rukh bersama beberapa krew dibawa menaiki sebuah pacuan empat roda yang tiba-tiba tenggelam di kawasan pasir jerlus.

Dua daripada krew itu lemas dan tinggal Shah Rukh bersama seorang wanita yang cuba menyelamatkan diri masing-masing sambil berteriak meminta tolong.

Kemudian, mereka didatangi oleh seekor biawak komodo gergasi yang sebenarnya cuma kostum dipakai pengacara televisyen tersebut.

Ketika identiti itu didedahkan, Shah Rukh ternyata berang dan sejurus diselamatkan, pelakon filem Kuch Kuch Hota Hai itu hampir menumbuk wajah pengacara terbabit.

"Ini semua mengarut! Aku dibawa ke sini dari India semata-mata untuk buat perkara ini?" jerit Shah Rukh.


Ramez kemudiannya tidak putus-putus meminta maaf daripada Shah Rukh sambil menyanyikan lagu Marjani Marjani (filem Billu).

Bagaimanapun, menurut pengurus Shah Rukh, Pooja Dadlani, pelakon itu dibayar AS$400,000 (RM1.7 juta) untuk melakonkan aksi marah itu.

Selain Shah Rukh, Paris Hilton pernah menjadi mangsa prank rancangan tersebut dalam situasi pesawat hampir terhempas.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Hindustan Times