Penyanyi dan penyampai radio, Haiza menceritakan detik cemas sewaktu anaknya, Nur Iman Syafie, 5, dikejarkan ke hospital ketika mereka sedang bercuti di Perth, Australia baru-baru ini.

“Pada penghujung bulan Mei lalu, saya bersama suami, anak dan keluarga ke Perth, Australia untuk bercuti. Disebabkan saya mendapat cuti yang panjang, kami sekeluarga bercuti ke Perth untuk membawa anak berjalan-jalan dan menimba pengalaman serta melihat tempat orang.

“Ketika tiba di Perth, cuaca di sana hujan dan keadaan agak sejuk. Dua hari sebelum pulang ke Malaysia, suhu badan anak saya naik mendadak.

“Iman memang tidak tahan sejuk dan saya bersama suami memang membawa thermometer pengukur suhu badan untuk memantau keadaan Iman.

“Takut dan risau dengan suhu badan Iman yang semakin meningkat, kami segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Haiza kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan rakaman program Hari Raya Muzik Muzik 32 dan Indigital di Marriot Putrajaya, baru-baru ini.

Akhirnya... Sejarah Man.Tak pernah masuk spital luo..Takpelah,janji sihat.Iman sama ngn bonda,kita takyah feeling2 nak duduk tpt sejuk.Paling sejuk pun @koolfmmy Malaysia tetap dihati. ❤❤ #imanketeng #imanketengcuti

A post shared by HAIZA #padaAllahkamiberserah (@haizahanafi) on


Mengakui kos perubatan dan pemeriksaan kesihatan agak mahal di luar negara, penyampai radio Kool FM ini membawa anaknya ke Princess Margaret Children's Hospital, Perth untuk rawatan.

“Saya akui kos perubatan di luar negara memang mahal, lagi-lagi untuk pelancong. Namun begitu, saya dan suami tidak kisah asalkan Iman kembali sihat seperti sediakala.

“Sistem hospital di Australia tidak sama di Malaysia. Jika di Malaysia, pesakit akan diberikan ubat. Lain pula ceritanya di Australia. Selepas menjalani pemeriksaan doktor, pihak hospital mengarahkan supaya ubat di beli di farmasi luar. Alhamdulillah, selepas mengambil ubat, Iman kembali sembuh seperti biasa,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Haiza yang semakin selesa bergandingan dengan AG menerusi segmen PHD Kool FM setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.00 sehingga 10.00 pagi ini sedang giat mempromosikan lagu duetnya bersama Aepul Drama Band, Jangan Pernah Berdusta.

Teks oleh: Kamaruddin Razal