Sejak semalam, portal hiburan dan media Indonesia kecoh dengan laporan berita mengenai hubungan cinta aktres cantik negara itu, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran.

Antaranya portal Bintang.com, kira-kira pukul dua petang semalam memuatnaik sebuah artikel bertajuk ‘Sebut Inisial E, Laudya Cynthia Bella Bikin Penasaran’, sekaligus menimbulkan spekulasi dikalangan peminat Laudya.

Menerusi laporan tersebut turut disertakan paparan skrin sebuah entri di Instagram (IG) pelakon filem Syurga Yang Tak Dirindukan itu yang menulis kapsyen;

“I’m blessed and thank u Allah for Every day, Everything and E.”

Ramai pengikut IG Laudya mengaitkan huruf E tersebut dengan pangkal nama bekas suami aktres Erra Fazira.

Peminat Laudya juga turut mendoakan pelakon kesayangan mereka itu bertemu jodoh dengan Engku Emran.

Tidak berakhir di situ, Bintang.com memuatnaik artikel kedua, ‘Akankah Engku Emran Jadi Pelabuhan Terakhir Laudya Cynthia Bella?’ yang terus-terusan menimbulkan tanda tanya tentang hubungan sebenar Cynthia dan Emran.

Kali terakhir Laudya dilaporkan bercinta ialah ketika dia sedang berkawan rapat dengan Afie Kalla, yang merupakan anak saudara Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.