Penyanyi lagu Lebih Sempurna, Syamel menceritakan pengalaman nakalnya sewaktu berpuasa di zaman kanak-kanak.

“Ketika itu, usia saya baru mencecah lapan tahun dan saya masih belajar untuk berpuasa. Saya teringat satu pengalaman ponteng puasa ketika saya masih kecil.

“Jika kanak-kanak lain ponteng puasa dengan menikmati air paip di tandas, saya pula melalui pengalaman ponteng puasa yang berbeza.

“Saya terus ke dapur dan cuba curi-curi minum air daripada cerek untuk menghilangkan haus. Pengalaman ponteng puasa sewaktu saya masih kecil memang sukar untuk saya lupakan. Sekarang sudah besar panjang, saya tak boleh lagi ponteng puasa,” seloroh Syamel.

Kurang mengambil tawaran nyanyian sempena kedatangan Ramadan, Syamel mahu membahagikan masa bersama keluarga.

“Setelah bekerja dan sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sepanjang tahun, kedatangan Ramadan saya anggap sebagai satu bulan yang sangat istimewa dan bermakna.

“Alhamdulillah, sempena kedatangan bulan yang mulia ini, selain memberikan masa untuk melakukan ibadah, saya lebih senang berada di rumah dan menumpukan masa untuk keluarga,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Syamel sedang giat mempromosikan lagu duet terbarunya bersama Ernie Zakri yang berjudul Aku Cinta.

Muzik video lirik bagi lagu ciptaan sepenuhnya oleh Syamel ini telah mendapat 2.6 juta tontonan di laman YouTube.

Teks oleh: Kamaruddin Razal