Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Knock Knock, Elizabeth Tan berehat seketika daripada bidang nyanyian.

“Buat masa ini, saya ingin memberikan fokus kepada bidang lakonan. Saya mahu berehat seketika daripada bidang muzik.

“Setakat ini, saya hanya mengambil dua tawaran nyanyian sahaja, itu pun pada bulan Ogos nanti dan belum berfikir untuk mengambil sebarang tawaran persembahan lain,” kata Eliabeth kepada Astro Gempak.

Sudah bergerak sendiri tanpa mana-mana syarikat pengurusan, Elizabeth mahu belajar selok-belok pengurusan dunia hiburan.

“Saya kini lebih selesa menguruskan kerjaya saya sendiri selepas bergerak solo tanpa sebarang syarikat pengurusan. Saya tidak mempunyai masalah dengan syarikat pengurusan lama tetapi saya hanya mahu belajar sendiri.

“Saya mahu belajar selok belok dunia hiburan, bagaimana mahu menguruskan persembahan, bagaimana mahu menguruskan jadual, bagaimana mahu menguruskan tajaan dan sebagainya.

“Pengalaman tersebut sudah pastinya dapat mendewasakan saya sebagai seorang penyanyi dan pelakon. Saya mahu mengutip sendiri pengalaman itu dan perkara tersebut bakal menjadi warna-warni dalam hidup saya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Elizabeth kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri My Darling Inspektor Daniel bersama Aaron Aziz, Siti Elizad dan ramai lagi. Drama bersiri arahan Aziz M Osman itu bakal ditayangkan di Astro Ria.

Teks oleh: Kamaruddin Razal