Pelakon dan pengacara, Alif Satar mengakui tidak mudah untuk melakukan alih suara untuk watak animasi.

Malah menurut Alif yang terlibat dengan alih suara siri animasi popular Ben 10, tenaga yang diperlukan lebih daripada berlakon di hadapan kamera.

"Ketika mula-mula diberi tawaran, saya tidak fikir panjang dan terus menerimanya kerana saya memang teringin untuk bekerjasama dengan Cartoon Network.

"Malah ketika itu saya fikir ia hanya kerja yang mudah.

"Namun bila dah masuk studio untuk merakamkan suara, saya perlu cakap ia memang susah tidak seperti yang dijangkakan.

"Bayangkan untuk merakamkan suara bagi kartun yang berdurasi 15 minit itu saya mengambil masa lebih sejam untuk menyiapkannya.

"Terus-terang ia memang lebih sukar daripada berlakon biasa di hadapan kamera. Bila berlakon suara ini kita perlu lebih tenaga sama seperti pergerakan karekter kartun itu sendiri.

"Jadi bila kartun itu perlu berlari saya pun berlari dalam studio supaya lebih 'real'.

"Suara saya juga berbeza kerana karakter Tim Buktu ini berbadan besar dan saya perlu besarkan suara saya setiap masa.

"Apa-apa pun saya gembira kerana berjaya melakukannya seperti yang mereka mahu, dengan bantuan team Cartoon Network juga," katanya kepada Astro Gempak.

Alif Satar merupakan bakat suara bagi karakter Tim Buktu dalam animasi BEN 10.

Bercerita mengenai karekter Tim Buktu, Alif memberitahu dia perlu menyelami jiwa Tim yang mahu menjadi wira seperti Ben 10.

"Tim Buktu ni watak antogonis yang sukar dikawal dan walaupun berbadan besar, dia sentiasa inginkan perhatian.

"Tim seorang yang kasar dan selalu berpura-pura untuk memberi bantuan kepada Ben10 tetapi tidak pernah berjaya.

"Walaupun sentiasa ingin menjadi seorang wira, namun dia sering gagal," katanya lagi.

Episod khas Ben 10 dalam bahasa Melayu itu bakal muncul di Cartoon Network (Astro Saluran 616) pada jam 9 pagi, 17 Jun ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal