Pelakon, Fahrin Ahmad akui berasa teruja dipilih menjadi pengacara untuk program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).

Menurut Fahrin, disebabkan pengisian program itu lebih kepada wanita, dia kerap merujuk kepada isterinya sekiranya terdapat info yang kurang difahami.

“Saya rasa berdebar juga sebab ini adalah program untuk wanita dan saya pula seorang lelaki, jadi saya kena lebih banyak buat ulangkaji untuk mendalami tentang wanita.

“Sebab itu jika ada info atau fakta-fakta yang kurang difahami, saya akan rujuk kepada isteri dan juga mendapatkan maklumat di internet.

“Memang pada mulanya saya rasa agak pelik bila dapat tawaran, tapi saya fikir balik apa salahnya jika nak cuba benda baru.

“Lagipun saya rasa tawaran ini agak unik dan berbeza daripada pengacaraan yang saya lakukan sekarang kerana ia berkaitan dengan wanita,” katanya

Dalam perkembangan lain, Fahrin bakal muncul dengan filem The Secret Life of Pets versi bahasa Malaysia.

Selain Fahrin, selebriti lain yang turut terlibat dalam pengalihan suara adalah Nora Danish, Sherry Alhadad, Che Puan Juliana Evans, Mark Adam dan Hisyam Hamid.

The Secret Life of Pets versi Bahasa Melayu akan mula ditayangkan pada Ahad, 25 Jun depan bermula jam 8.00 malam di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 431).

Teks oleh: Mya Amri