Foto pewaris takhta Diraja Britain, Putera Harry berbuka puasa dengan duta keamanan, Nazhath Fatheema sambil menikmati kurma dan bubur dalam sebuah majlis anjuran Jamiyah Singapura pada Ahad (semalam), mencuri perhatian netizen.

Rata-rata pengguna laman sosial kagum dengan sikap rendah diri Harry dan memuji putera kedua Prince Of Wales itu.

Kedatangan Harry ke Rumah Kanak-Kanak Jamiyah disambut sekumpulan pemain gendang Melayu dalam pakaian tradisional yang memainkan irama menggunakan kompang.
Malah, beberapa kanak-kanak perempuan turut menabur kelopak bunga di laluan putera Britain itu semasa menuju ke persembahan demonstrasi silat.

Menurut laporan Daily Mail, beberapa minit sebelum waktu berbuka dan azan dilaungkan, Harry menundukkan kepala memberi penghormatan ketika Setiausaha Agung Jamiyah, Muhammad Rafiuddin Ismail, berucap dan memperingati tujuh mangsa yang terbunuh dalam serangan pengganas di London.

Jamiyah Singapura sebuah pusat komuniti yang menyediakan pelbagai khidmat bagi membantu memulihkan penagih dadah dengan menyediakan tempat tinggal kepada golongan tersebut.

Harry melawat Singapura untuk mengutip dananya, Piala Sentebale Polo pada Isnin.

Olahan Oleh: Rozaimi Zubaidi
Sumber: Daily Mail