Vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie akui teruja apabila dapat berpuasa bersama isterinya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, Ramadan tahun ini.

Menurut Awie, ini merupakan tahun pertama dia menyambut puasa sebagai suami isteri dan berharap dapat memperbanyakkan ibadah bersama di bulan Ramadan.

"Puasa tahun ini merupakan sesuatu yang indah bagi saya apabila dapat berpuasa bersama isteri dan merasai makan yang disediakan olehnya ketika berbuka.

"Ini merupakan kali pertama isteri saya berpuasa bersama suami dan yang lebih istimewanya apabila anak-anak mendapat ibu baru.

"Kehidupan kami kini lebih lengkap dengan kehadiran isteri dan saya berharap Ramadan ini menjadi permulaan yang baik buat kami.

"Saya juga berharap agar dapat meluangkan masa secukupnya bersama keluarga," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings And Superfriends, di Hotel Premiera Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercakap mengenai program raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings And Superfriends, Awie berkata, persembahan itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu persembahan daripada Superfriends, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa, Liza Hanim, Rody Kristal dan Eddie Def-Gab-C pada jam 6.30 petang.

Pada Segmen kedua, tetamu yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan Acapella dan acara kemuncak, Wings bersama Edrie Hashim dan bekas pemain gitar Wings, Syam akan beraksi secara akustik selama sejam.

Wings akan mengadakan persembahan istimewa di dewan utama, hotel berkenaan pada 17 Jun depan.

Harga yang ditawarkan bermula RM10, 000 hingga RM5, 000 satu meja dan meja individu bernilai RM 150 seorang.

Untuk keterangan lanjut mengenai program raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings And Superfriends, boleh layari www.sayap2wings.com atau premiera.com.my.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi